PERCUTIAN KE SUNGAI PETANI, KEDAH
Pada 24 Disember 2019 yang lepas, saya dan keluarga telah bercuti di sungai petani, kedah. Negeri ini bukan negeri asing untuk keluarga saya kerana ia merupakan kampung kami. Kami telah melawat pelbagai tempat bersejarah. Dalam blog ini saya akan menceritakan perjalanan kami.
Pada hari itu, kami sekeluarga telah bersarapan di rumah dan sudah bersiap sedia untuk menjelajah dunia luar. Destinasi pertama ialah Muzium Padi. Muzium ini amat terkenal di Kedah kerana negeri ini kaya dengan hasil padinya. Yuran pembayaran kemasukan adalah sebanyak RM5 sahaja bagi dewasa. Kami berpeluang mengetahui sejarah penanaman padi di Kedah, meninjau koleksi variasi - variasi padi dan melihat alatan-alatan pesawahan tradisional seperti anak, renggam, kapok, tenggiling dan lain-lain. Terdapat pelbagai budaya yang telah saya pelajari setelah melihat proses penanaman padi. Sebagai contoh, budaya pesawah ialah pesawah merupakan pengamat dan penghayat yang peka
terhadap fenomena alam dan mereka belajar dari alam maya.Setelah selesai melawat muzium, saya berpeluang untuk membeli cenderamata sebagai kenangan.
Pada hari yang seterusnya, kami telah melawat seorang kawan ayah saya. Beliau memiliki kawasan penternakan tiram. Beliau menceritakan pengalamannya selama 5 tahun melakukan perniagaan ini. Terdapat pelbagai halangan yang telah beliau hadapi. Beliau turut mengatakan bahawa kesabaran merupakan aspek yang amat penting dalam kehidupan. Setelah meluangkan masa berbual dengan beliau, kami meminta izin untuk mengambil gambar di kawasan penternakan tiram itu kerana ketika itu matahari sedang terbenam.
Setelah melawat kedua-dua tempat itu, telah banyak yang saya pelajari. Saya belajar untuk mengutamakan sifat bersabar dalam kehidupan. Saya turut mempelajari bahawa terdapat banyak rintangan yang dilalui pesawah untuk menanam padi. Perkara-perkara ini mungkin kelihatan remeh akan tetapi ia merupakan aspek yang amat penting. Saya berharap saya dapat berkongsi pengajaran ini bersama anda.
Akhir sekali saya berharap, melalui penulisan blog ini saya dapat mengekalkan warisan dan adat budaya masyarakat yang terdapat di Kedah dengan berkongsi pengalaman saya semasa berada disini untuk memberi kesan yang mendalam kepada para pembaca. Tanpa kita sedari, terdapat budaya yang tersendiri bagi setiap masyarakat. Kita haruslah memelihara warisan dan adat budaya ini kerana mengekalkan kesinambungan tamadun.Melalui budaya tradisional, kita dapat mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita dan dari sini kita akan mendapat iktibar. Sebagai contoh, penanaman padi telah wujud di Kedah sejak dulu lagi. Pesawah telah mula menanam mengunakan kaedah tradisional dimana tiada alatan elektronik yang digunakan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa para pesawah telah mengharungi pelbagai cabaran untuk menanam padi kerana masyarakat dulu bergantung pada hasil padi sebagai sumber makanan mereka. Sampai kini, masyarakat Melayu bergantung terhadap padi sebagai sumber makanan utama bak kata pepatah," tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".